Wednesday, October 31, 2012

CERITA KORBAN

 As salam.

Alhamdulillah, rezeki saya sekeluarga untuk berkorban seekor lembu pada tahun ini. Semoga tahun-tahun mendatang kami berpeluang lagi untuk membuat korban, insyaallah.

Pagi tu anak-anak dan Mr.R dah standby di padang seawal jam 8.00 pagi untuk bersama-sama menyaksikan acara penyembelihan lembu korban. Kesemuanya ada 6 ekor lembu dan lembu kita orang adalah lembu yang ke 2 untuk dikorbankan pagi tu.

Ini lah lembu yang sudah selamat disembelih pagi tu. Khusyuk anak-anak tengok, si Hakeem sampai tak bergerak seinci pun, ralit tengok orang ramai yang ada kat padang dan sama-sama bergotong royong menyelesaikan lembu-lembu yang ada.

Acara melapah lembu, nasib baik ada 2 orang adik Mr.R yang sama-sama bertungkus lumus menolong abangnya menyelesaikan sampai ke sudah, mak mertua dan saya jadi mandur je kat tepi padang tu, hihi. Bagus betul pengurusan surau di tempat mak mertua saya ni, ajk semuanya buat kerja, setiap lembu yang dikorbankan ada ketuanya, semua yang menolong akan dapat bahagian daging sorang sedikit dan yang paling penting, makan dan minum disediakan untuk semua yang hadir, macam-macam ada pagi tu.

Selesai dengan acara korban di padang, saya kena bertungkus lumus semula di dapur rumah mak, kali ni mak saya request nasi ayam pula untuk hidangan anak-anak nya yang akan sampai masa lunch nanti. Saya seorang je di dapur, tiada assistant sebab Mr.R dan angah masih sibuk di padang, kak long pula kena tolong nenek mengemas, kelam kelibut saya nak menyiapkan semua on time, fuhhh nasib baik dia orang sampai lepas semua saya dah siap hidangkan di atas meja.


Saya sediakan nasi ayam, sup dan sayur-sayur nya, siap gorengkan daging dan tak lupa juga 2,3 jenis kuih sampai penuh satu meja besar tu.  Besar hati tengok semua makan masakan saya dengan penuh berselera, pendek kata hidung saya memang kembang dari tengahari tu membawa ke petang dengan pujian berbakul dari dia orang, muahaha.

Kakak ipar saya siap beli kan KFC dua barrel, dengan burger nya, dengan fries nya dan paling best siap beli nasi di KFC okay, sebab menyangkakan saya dan family akan sibuk di padang dengan acara korban dan semestinya tiada masa untuk masak memasak di rumah. Padahal saya dah siap masak nasi ayam dan sup nya seperiuk besar, maka jawabnya, memang nasi dan ayam yang dibeli di KFC tu dipandang sepi aje lah, dah tentu nasi ayam yang saya masak tu lagi sedap, harap maklum.

Bosan ehhh dari semalam saya tak habis membebel pasal raya aidiladha, siapa suruh korang baca, muahaha.


Tuesday, October 30, 2012

CERITA SAYA HARI TU

As salam

So macam mana dengan Hari Raya Aidiladha korang ? Best tak ? Saya ? Of course lah best, best sebab dari pagi membawa ke malam hanyalah aktiviti makan, makan, makan, apa lagi yang selalu saya cerita dalam blog saya selain makan, makan, makan kan.

Pagi raya hari Jumaat tu macam biasa lah, saya ke rumah mak saya dulu, seawal jam 7 pagi dah tercongok kat dapur mak sebab mak request nak saya masak kan kuah lodeh, uiiiii apa lah punya senang menu yang mak saya request ni, tutup sebelah mata pun boleh siap, hihi. So pagi tu di rumah mak saya, hidangan nya adalah nasi impit, kuah lodeh dan sambal udang. Adik beradik saya semuanya akan datang hari Sabtu so masak yang simple-simple sahaja hari tu. Macam biasa, kuah lodeh yang saya prepare adalah super sedap dan ianya mencukupi untuk tetamu yang hadir, malam tu tetamu terakhir mak saya balik jam 11.30 malam.

Dah siap kerja masak memasak dan menghidang di rumah mak saya, barulah saya ke rumah mertua pagi tu. Tahun ni saya tak ada baju yang senonoh untuk dipakai di pagi raya, baju-baju saya semua dah dimasukkan dalam kotak untuk kerja-kerja pengubahsuaian di rumah dan saya tak kuasa nak memunggah semula kotak-kotak dalam stor tu, makanya saya terpaksa pakai baju basahan di rumah je. Paling best bila saya sampai je di rumah mertua, bibik jiran sebelah ada pula kat depan tu dan dah siap berbaju raya dan bertudung sedondon purple lagi, terus laju-laju saya masuk ke dalam rumah mertua sambil dijadikan bahan gelak dek Mr.R dan anak-anak, bak kata kak long, baju bibik jran sebelah lagi lawa dari t.shirt mama, dah mama pulak macam bibik pagi tu, muahaha.



Seperiuk besar ketupat palas yang disediakan oleh mak mertua saya, alhamdulillah, kali ni mak mertua saya sihat dan terdaya nak menyediakan ketupat palas yang sangatlah remeh untuk disediakan ni. Memang terbaik rasa  nya dan tiada tandingan, masing-masing kemain laju mengadap ketupat palas ni.


Hidangan di rumah mertua yang sungguh simple tapi super sedap. Air tangan mak mertua semuanya ni, ada ketupat palas dan rendang daging, mee hoon goreng dan kastard jagung. Dah siap makan semua ni ada pula rezeki lain yang nak dijamah bersama, adik ipar saya bawakan nasi beriani dan lauk pauk sedap yang disediakan oleh keluarga mertua nya, so apalagi, makan lah nasi beriani pula, ada je ruang yang boleh saya isikan di perut saya, kemain banyak level kat perut, muahaha.

Selesai semua dah balik dari solat Jumaat, kita orang ke rumah makcik Mr.R pula untuk menziarahi Tok yang uzur, kat sana pula di jamu dengan ketupat palas dan rendang ayam, laksa penang dan laksam yang super sedap juga, kata orang, rezeki jangan ditolak, maka nya marilah makan bersama-sama, pung pang pung pang lepas Asar baru nak gerak balik, nasib baik rumah saya, rumah mak, rumah mertua dan rumah makcik Mr.R sepelaung sahaja, tak ada susah payah nak menempuh kesesakan lalu lintas :)

Selesai bebelan saya untuk kejadian di hari Jumaat lepas, esok saya akan sambung membebel untuk hari Sabtu pula. Bye-bye.

Monday, October 29, 2012

TAK BEST PUN, TAK PAYAH BACA

As salam.

Amacam pagi ni ? Bersemangat tak nak bekerja, ke ada yang sambung cuti lagi ni, seronok ehhh korang cuti lama-lama, saya jealous tau ;)

Uiiii sendat perut saya dok makan menu daging korban dari hari Jumaat, buat daging goreng kunyit lah, masak kicap lah, di salai lah, lepas ni nak buat rendang pula, takpe, petang ni nanti saya jogging kat stadium 20 pusingan, uhuk uhuk, ehhh terbatuk pulak, muahaha.


Beruntung tau jadi warga office ni, selalu boss dan pegawai kita orang belanja makan especially waktu breakfast. Dapat pula kawan sekerja yang memang suka makan macam saya ni, lagi lah seronok nak makan sama-sama. Dia orang selalu belanja nasi lemak dan kuih muih, ehhh ada juga hari tu boss bawak tosei tapi saya tak reti nak menikmati tosei, maka pandang je lah kawan-kawan makan, cuba boss bawak roti canai, alih-alih 2 keping selamat masuk dalam perut saya, haihhhh, asal makanan yang berkhasiat dan tidak menggemukkan semuanya tak sedap di tekak ni.

Murah rezeki kami yang selalu dapat makan breakfast dan murah rezeki orang yang membelanja kami :)


Thursday, October 25, 2012

SALAM AIDILADHA

As salam.

Pagi ni nak ke tempat kerja lengang je jalan raya, ramai yang dah mula bercuti. Kat office ni semua pun masih bekerja, masing-masing nak berjimat cermat untuk mengumpul cuti yang akan digunakan untuk hujung tahun nanti, sama lah macam saya, nak simpan cuti untuk projek besar di rumah dan persiapan untuk Mimi memasuki darjah 1 nanti.

Mak saya suruh juga ambil cuti hari ni tapi saya dah explain bla bla bla dan promise dengan mak nak sediakan bahan-bahan nak masak tu sendiri kat rumah malam nanti dan saya akan masak kan nasi ayam untuk dia di hari Jumaat tu nanti, baru lah mak berpuas hati :)


Insyaallah, kita semua akan menyambut Hari Raya Korban pada hari Jumaat dan alhamdulillah, rezeki saya sekeluarga untuk menjalankan ibadah korban tahun ini. Semua anak-anak dah excited nak tengok lembu yang akan dikorbankan pada hari Sabtu nanti. Semoga semuanya berjalan dengan lancar, aamiin.

Kawan-kawan, Selamat Hari Raya Aidiladha :)


Wednesday, October 24, 2012

SAYA SEORANG PEMEGANG DUIT PANTRY

As salam.

Sebagai pemegang amanah untuk duit pantry di office, saya adalah bertanggungjawab untuk collect duit pantry every month dan saya juga akan meluangkan masa di hujung minggu membeli kan barang-barang untuk kegunaan pantry.

Tell you, sungguhpun kat office ni tak ramai tapi selera kita orang adalah tak boleh blahhh, muahaha. Semua nak yang sedap-sedap je, makanya saya kena selalu pelbagaikan barang-barang  yang nak dibeli, tak boleh asyik nak beli biskut yang sama aje, nanti kawan-kawan saya boring, baik kan saya melayan selera dia orang semua, clap clap clap.


Jap ehhh, saya senaraikan mana yang saya teringat yang ada di pantry tu, saya ada belikan Nescafe 3 in 1, ada milo, ada teh, ada creamer, ada gula, ada nesvita 3 in 1, ada hot chocolate cadbury, ada air kotak, ada marjerin, ada jem, ada maggi perasa ayam dan kari, ada 3 jenis biskut dan biskut di atas ni adalah yang terlatest edition untuk saya letak di pantry. Menjadi pujaan ramai ni, sekejap je dah habis, maksudnya sedap lah tu.

Hari Isnin hari tu kita orang dah dapat gaji, duit pantry pun dah di top up semula, tiba lah masa untuk saya membeli dan memenuhkan kembali pantry. Begitulah kitaran tugas seorang pemegang duit pantry, harap maklum.


Tuesday, October 23, 2012

4 ORANG 4 RAGAM

As salam.

Lega lega lega, lega bila anak-anak dah habis peperiksaan. Result ? Seperti biasa, saya terima seadanya sebab saya adalah seorang mama yang super duper positif lagi sporting, clap clap clap untuk diri sendiri.


Kawan-kawan kak long yang selalu lepak kat rumah saya cakap pada kak long yang saya ni sporting, bila bercakap dan bergurau senda dengan kak long tu macam dengan kawan-kawan aje. Ehhh, tak kan mama dia orang semuanya garang-garang kan. So bila dah melepak dengan kawan-kawan kak long tu saya dah dapat teori kenapa dia orang cakap mama dia orang tak se sporting saya. Mana tak nya kawan-kawan, most of kak long punya friends adalah anak bongsu ataupun second last dalam family, so jurang perbezaan umur mama dia orang dengan saya adalah besar, makanya pendekatan mama dia orang yang dah berumur 50 an mana lah nak sama dengan saya, sebab tu lah dia orang nampak saya  macam sporting, sebenarnya sama je dengan mama dia orang.

Angah lagi lah kelakar, dia punya lagak nya lepas habis UPSR dan PSRA ni macam kan dia baru habis final exam Universiti dan hanya menunggu keputusan yang confirmed cemerlang, dia punya melepak dan suka tu satu macam, sabar je lah.

Mimi pun baru habis exam di tadika 6 tahun dia, tahun depan dah start darjah 1. Setakat ni saya tengok dia suka buat kerja sekolah dan rajin baca buku, esok lusa tak tahu lagi, it's okay, tunggu dia masuk alam persekolahan nanti baru boleh tengok progress dia. Sekarang dia tengah sibuk practise untuk persembahan di hari konsert nanti, dia berlakon dalam drama Inggeris, dialog nya hanya 10 baris tapi dah naik lunyai kertas tu dikerjakan sebab dok practise setiap hari, siap dok depan cermin untuk practise okay, kelasssss ko Mimi, muahaha.

Hakeem oh Hakeem, tahun depan bulan 2 baru nak masuk 3 tahun tapi gigi dah reput banyak, ni semua angkara suka makan gula-gula dan tak suka gosok gigi, kalau nak suruh dia gosok gigi masa mandi tu dah macam kena bergusti pulak dah. Hakeem suka sangat beli mainan, bila dah beli tak payah tunggu esok, hari yang sama tu juga mesti dah jahanam semua mainan tu, bersabarlah mama kata si Hakeem.

Sekian.


Monday, October 22, 2012

BANGGA SEKEJAP :)

As salam.

Di suatu petang hujung minggu yang mendung, saya pun duduk sesaja menggodek tab kesayangan saya, google sana google sini dan sesaja menggoogle tajuk "Resepi Nasi Ayam Mudah" ni sebab dalam statistic posts saya, entry ni lah yang paling ramai viewers nya, bangga sekejap bila di google, entry saya adalah carian yang paling atas sekali buat masa itu. Tak sangka ramai yang suka buat nasi ayam tetapi nak gunakan cara yang mudah sama seperti saya :)




Memang ada banyak versi nak buat nasi ayam ni, ada yang ditumis beras tu dulu dan gorengkan sekejap, lagi rumit dan banyak bahan lagi lah sedap tau, tapi cara mudah saya ni pun boleh jadi sama rasa sedapnya kalau dimasak dengan cara yang betul.

Actually saya ni memang kurang kesabaran nak memasak resepi yang menggunakan bahan yang banyak, dah lah kena beli semua bahan-bahan yang tersenarai tu dan dibuatnya datang pula mood tak kuasa nak mengulang resepi tu, masak sekali tu aje lah, tak ke membazir bahan-bahan tu nanti, logik tak alasan yang saya bagi ni ?


Friday, October 19, 2012

SUKA SUKA SUKA NI !

As salam.

See see see, I've told you, this week entry saya pasal makanan jer, I love to makan, makan & makan.

Pada kawan-kawan pembaca saya, especially Ainnur, haiiiii Ain (sambil lambai-lambai tangan kat dia) yang ada sok sek dengan Mr. R dan Tefin yang tinggalkan komen kata saya nampak semakin susut dari dulu dan tanyakan rahsianya ? Jawapannya : takde makna nya saya susut sayang-sayang ku, saya maintain tembam macam tu jugak, cuma bila saya bergambar, posisi tu penting untuk menyorokkan lengan dan bahagian badan yang berlemak, so setiap kali kak long tolong saya snap gambar, dia akan mengeluh sebab lepas snap jer saya akan tengok, gambar yang nampak gemuk saya suruh dia terus delete, pastu dia kena snap lagi sampailah mama dia berpuas hati dengan gambar yang nampak macam dah susut walaupun hakikatnya tidak, hahhh itu lah sebenarnya yang berlaku ye kawan-kawan.

Pastu pulak, bila nak tempek gambar dalam blog ni , memanjangnya lah saya letak gambar bahagian muka je, sebab muka saya dan pipi saya memang spesis tidak menaik macam kuih pau sungguhpun badan saya adalah kuih pau, paham tak ni, muahaha. Makanya korang jangan tertipu ok, bila berjumpa berdepan dengan saya baru korang akan tahu, laaa memang tembam rupanya kak Shibam ni :)

Sekian, penerangan panjang lebar dari saya tentang persoalan, " ehhh nampak macam dah susut lah", lepas ni saya letak gambar lengan dan badan banyak-banyak dalam blog, muahaha.


Nak citer pasal lauk favourite saya ni, ter explain panjang lebar pulak kat atas tu pasal susut menyusut ni, I'm sorry.

Korang pandai makan telur ikan ? Ni telur ikan tenggiri masak asam pedas campur bendi adalah salah satu lauk yang saya terpaling suka, kalau masak lemak cili api letak belimbing pun saya suka suka suka jugak. Pastu rebus telur masin atau goreng telur mata dan bubuh kicap, tell you, dua pinggan nasi bumbung boleh habis sekelip mata. Semasa makan lauk ni saya tak boleh makan dengan Mr.R sebab nanti mengganggu konsentrasi saya bila tengok mata Mr.R yang akan terkedip kedip bila menengok bini dia nak menambah nasi lagi. Mr. R nak cakap depan-depan takut mengguris hati isteri tembam kesayangan dia ni, makanya dia bercakap dalam hati je lah, untuk mengelakkan dia bercakap perkara tak baik dalam hati lebih baik saya elakkan dengan jangan makan lauk sedap ni depan dia, muahaha.

Selamat berhujung minggu semua :))


Thursday, October 18, 2012

TAK LAYAK MASUK MASTERCHEF

As salam.

Sepanjang-panjang hidup ni, baru 2 kali saya buat kuih keria ni, muahaha. Saya bab buat kuih tradisional ni memang ada sedikit failed di situ, kalau memasak lauk pauk dan membuat kek tu memang takde hal, bab kuih tradisional ni, hrmmmmmm, panjang hrmmmm tu kan, faham-faham je lah ye.


Ni rupa kuih keria masa first time buat dulu, herot berot rupa nya, kecoh kemain sampai kena call mak mertua cara nak sira gula kat kuih tu. Kali kedua buat, dah okay dah, tapi tak boleh nak buat selalu sebab anak-anak tak pandai makan, saya dengan Mr.R je yang suka, sebab tu lebih senang kalau dibeli aje.

Kalau cenggini rupa kuihnya kan, mesti dari pusingan awal ujibakat Masterchef tu dah kena halau balik, sila bayangkan rupa Chef Jo menggeleng geleng tengok rupa kuih ni dan suruh saya balik ikut pintu besar tu, muahaha.

Teringin juga masuk bertanding masak memasak ni, tapi saya akan usulkan pada kawan-kawan office dulu sebab bila bertanding dengan dia orang dia je saya ada peluang untuk mencipta kemenangan, bijak kan saya, awal-awal dah atur strategi untuk menang :)


Wednesday, October 17, 2012

SENARIO SETIAP PAGI

As salam.

Wahh senario katanya, ini bukan senario kumpulan lawak tu tau, ini senario yakni pemandangan biasa di dapur saya  pada setiap pagi hari bekerja.


Antara menu yang disediakan untuk dia orang adalah mihun goreng. Ada kawan bercerita yang suami dia memang tak pernah dan tak nak bawak bekal pun ke pejabat, tapi situasi saya berlainan, Mr.R bukan sahaja suka bawa bekal makanan ke pejabat, bekalan air pun dia rela je nak bawa dari rumah. Air yang selalu jadi pilihan nya adalah teh o tanpa gula ataupun nescafe.

Anak-anak yang lain pun semuanya memang suka je nak bawa bekal kecuali kak long sebab dia dah siap sedia bersarapan di rumah dan tak nak bawak bekal, selalunya masa rehat dia dihabiskan dengan duduk bergosip dengan kawan-kawan je, sebab tu dia dan geng-geng dia semua sepesen je, kurus meninggi je masing-masing. Untuk anak-anak, dah bawa bekal pun, duit belanja sekolah diberi macam biasa dan satu kelebihannya di sini, duit tu dia orang boleh simpan dalam tabung untuk digunakan membeli barang keperluan dia orang.

Menu untuk bekalan semua orang esok adalah nasi goreng, yeayyyy, tetiba yeayyy, muahaha.


Tuesday, October 16, 2012

MAKAN-MAKAN ITU BEST

As salam.

Memang dalam minggu ni, entry blog saya hanya berkisar pasal makan, makan, makan dan makan je, cerita lain tiada, harap maklum :)

Minggu sudah kita orang adik beradik semua berkumpul di rumah mak abah, kali ni nak celebrate birthday abah, celebrate awal dari hari sebenarnya, it's okay, janji semua orang ada. Dah lama tak buat BBQ, moh lah ber BBQ.


Sebagai orang yang paling boleh diharapkan dan paling rajin dalam family, saya lah yang menyediakan semua bahan perapan BBQ ni, muahaha. Mr.R tolong pergi beli bahan-bahan yang nak diperap, saya lah memblend semua bahan-bahan yang diperlukan untuk diperap, nanti saya share resepi perapan BBQ saya ye, memang sedap, 3 ekor ayam besar-besar tu telah licin dalam sekelip mata, nampak nau penipu nya sekelip mata tu, muahaha. Ada juga udang, ikan pari dan ikan kembung.


Sudah siap dicucuk dan menunggu giliran untuk di bakar oleh dua orang jejaka terhangat.


Mak saya prepare kan nasi lemak dan kakak-kakak  ipar saya bawa mihun sup, mihun tomyam dan dadih. Alhamdulillah, cukup semua hidangan sampai ke makan malam :) Mimi adalah yang terpaling hebat hari tu, dari tengahari membawa ke malam, memang dia yang makan paling banyak, kus semangat menengok seleranya tu, bila saya suruh dia kurangkan makan, suruh dia diet, dia mesti cakap, mama lah kurangkan makan dulu, mama lah diet dulu, padan muka mama, muahaha.


Ini yang paling ditunggu-tunggu semua, marinated lamb yang super duper yummy. Lepas makan petang tu, saya terus jogging dua puluh pusingan padang kat depan rumah mak abah saya (tak percaya lah tu ) !


Terima kasih Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan saya sebuah keluarga kecil yang sangat harmoni. Dalam banyak-banyak gambar, saya suka dengan gambar ni, tengok betapa happeningnya kita orang dan happy nya abah saya yang turut sama menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu, Happy Birthday dan  Selamat Hari Jadi, yes, kami nyanyi 3 version untuk lagu hari jadi dan saya pasti masa tu, kedua-dua jiran sebelah menyebelah, mahupun jiran belakang telah menutup pintu dengan pantasnya, muahaha.

Bulan depan birthday saya pula, insyallah, jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, kita orang akan berkumpul dan makan-makan lagi. Korang pun selalu celebrate birthday dengan family macam ni kan, seronok kan, biarpun hanya di raikan di rumah, tiada hadiah mahal ataupun menu makanan yang gempak, keseronokan berkumpul sekeluarga tu yang best sebenarnya. Setuju tak ?

Monday, October 15, 2012

SARAPAN

As salam.

Selamat hari Isnin, jangan monyok monyok ye, senyum lah selalu. Bukannya apa, ramai betul yang selalu moody di pagi Isnin ni, tu yang suruh senyum tu, peace :)


Antara sarapan saya sekeluarga di hujung minggu. Nasi goreng kampung dan mihun goreng. Macam biasa, ni pinggan Mr.R, so portion dia adalah comel je, kalau pinggan saya, confirmed portion nasi tu jadi double. Saya memang suka menyediakan sarapan setiap hari tanpa jemu dan saya jadi seronok tengok family saya makan apa yang saya sediakan.

Paling happy bila ada sahabat saya beritahu yang dia mendapat inspirasi mahupun semangat dari saya untuk menyediakan sarapan untuk family dia, terus saya rasa saya dah jadi idola mahu pun mentor dia, muahaha. Mana tak happy, dari seorang yang asyik rajin membeli sarapan setiap pagi, dia dah transformed menjadi ibu yang gigih menyediakan sendiri menu yang digemari anak-anak nya, dari liat nak bangun lebih awal untuk menyediakan semua ni, dah jadi rajin dan seronok pula nak memasak untuk family, bagus kan, teruskan wahai sahabatku, ye saya tahu, anda sedang membaca entry saya ni :)

Kepada yang memang rajin memasak, teruskan kerajinan kita tu kawan-kawan, pada yang baru nak berjinak jinak memasak, jom lah, memang best menyediakan hidangan untuk keluarga dari air tangan kita sendiri.

Sekian.


Friday, October 12, 2012

SAYA BUKAN MENANTU KESAYANGAN

As salam.

Ye tuan-tuan dan puan-puan, saya bukan menantu kesayangan, saya hanya seorang menantu yang mencuba untuk  menyenangkan hati mertua supaya suatu hari nanti bila saya juga sudah bermenantu, saya juga akan mendapat menantu yang menyenangkan hati saya, insyaallah.


Ni mak mertua saya, dah 16 tahun saya jadi menantu mak. Mak mertua saya seorang yang tegas, cakap je, apa pengalaman yang saya tak pernah tempuh dengan mertua saya, segala pahit, kelat, masin dan manis semua nya ada. Saya berkahwin masa berumur 22 tahun, faham-faham je lah darah orang muda ni, dengan keras kepala nya lagi, tapi saya banyak belajar dari orang lain yang terlebih dulu makan garam dari saya dan saya cuba berubah untuk mengikut rentak mak mertua.

Senang je teorinya, bersetuju dan iya kan sahaja lah apa yang disuarakan oleh mertua, ye lah, pada mertua, dia orang banyak pengalaman, semua pandangan dia orang mesti betul, walaupun pada kita ni tak betul, kita angguk-angguk kan aje, iya kan aje.  Bila mak mertua bagi pendapat tu, jangan menjawab sekali pun, dengar aje, angguk kan aje tau. Kalau nak berdebat pun, berdebat je lah dengan pasangan kita yakni anak kandung mertua tentang tak logiknya pandangan mak dia, lepas dah berbincang dengan pasangan, for sure kita akan rasa lega sebab apa terbuku di hati kita dah luah kan, lepas tu dah, tutup cerita, tak usah di panjang-panjangkan dan diungkit-ungkit lagi tau, kalau diungkit lagi, memang akan jadi perbalahan pula dengan pasanga masing-masing. Kalau tak buat macam ni, memang sampai ke sudah lah kita tak akan mencapai kata sepakat.

Sebagai menantu perempuan, kita tak boleh nak sekat atau menghalang suami untuk melaksanakan tanggungjawab bulanan dia kepada keluarga, kalau suami terlupa, kita mesti ingatkan, tak dapat bagi banyak, kita bagi sedikit, yang penting ingatan untuk memberi, jangan selalu jadikan alasan kita bergaji kecil dan banyak komitmen tak boleh nak memberi serba sedikit sumbangan bulanan pada mereka. Masukkan sumbangan bulanan pada mertua dalam komitmen kewangan kita setiap bulan.  Jangan berkira atau kedekut dengan keluarga mertua, selalu sematkan dalam hati, suka kah kita kalau dapat menantu yang kedekut dan berkira suatu hari nanti ??

Tetapi percayalah kawan-kawan, sungguhpun dah 16 tahun menjadi menantu ni, sungguhpun dah banyak saya pelajari dari orang yang lebih berpengalaman, namun masih banyak lagi kekurangan saya, banyak lagi yang saya kena perbaiki dari pelbagai aspek :)

Saya ada kawan yang menjaga mertua nya yang tidak sihat, dah 3 tahun mertua nya duduk sekali dengan dia, saya kagum dengan kesabaran dan kesungguhan dia menjaga mertua nya, bagus betul dia, banyak tips yang saya boleh dapat dari dia dalam menjaga hubungan menantu dan mertua ni, insyaallah akan saya kongsikan di masa akan datang ye.

Selamat berhujung minggu semua :))


Wednesday, October 10, 2012

KEMAS ITU INDAH

As salam.

Saya suka kan suasana yang kemas. Yes, kemas itu subjektif, setiap orang ada pandangan tersendiri mengenai istilah kemas, saya suka kan susun atur sesuatu tempat mahupun ruang itu nampak kemas. Saya ada bad habit, saya selalu rasa teringin nak kemaskan meja rakan sekerja yang bersepah, yes, bersepah itu juga subjektif, mungkin pada sesetengah orang dengan membiarkan hanya fail dan surat di atas meja tidak dikategorikan sebagai bersepah, saya tetap namakan situasi itu bersepah kerana pada saya, meja untuk membuat kerja sepatutnya kemas untuk memudahkan kita membuat sesuatu kerja.

Memang lah kena ada sesuatu di atas meja, baru lah nampak kita sedang membuat kerja kan, tapi fail ataupun surat tersebut mestilah berada dalam susunan yang sedap mata memandang, yes, sedap mata memandang setiap individu pun tidak sama, saya pandang okay je, korang pandang tak okay pula, faham-faham je lah ye, penat pulak nak explain walaupun tiada siapa pun yang suruh saya explain.


Meja saya di office hanyalah sekangkang kera je, kalau dibiarkan bersepah lagi lah nampak berserabut, so saya hiaskan sudut meja saya dengan apa yang saya rasa cantik di mata saya. Yes, cantik di mata saya, mungkin tak cantik di mata korang, lagi sekali saya explain, muahaha.

Gambar family penting untuk ditatap selalu, so saya letak kan kat sebelah tu, senang saya nak pandang dan every year saya akan tukar gambar kat situ setiap kali selepas raya, sebab masa raya je ada gambar sefamily yang senonoh :)


MESTI SELALU APPRECIATE EACH OTHER

As salam.

Kawan-kawan, macam yang saya selalu cerita kat blog ni lah, setiap apa yang pasangan kita selalu buat tak kiralah itu perkara rutin atau pun tidak, selalu lah ucapkan terima kasih, hargailah apa sahaja yang sering dilakukan oleh pasangan kita.

Kali ni saya nak share apa yang Mr.R emel kan pada saya semasa saya bekalkan nasi goreng sardin dan teh O kegemaran nya tempohari, sungguhpun ucapan terima kasih tu memang tak pernah lekang dari bibir dia tapi inisiatif macam ni lah yang membuatkan sesuatu perhubungan tu selalu mekar, wahhh mekar bagai, muahaha.

Ni mesej yang dihantar melalui emel kepada saya pada 4/10 tempohari, siap bagi kata-kata mutiara bergambar seperti di bawah tu :)

Date: 04/10/2012 8:01:53 AM
Terima Kasih Yang buatkan sarapan untuk saya dan anak2…
Apa yang Isteri buat semuanya SODAP….




Yang ni pula, Mr.R send keesokan harinya, 5/10 :)

Date: 05/10/2012 9:36:10 AM
As-Salam.

Tengah sarapan air Nescafe dan kuih…fuh…sedapnya..terima kasih yang…

(padahal saya bekalkan cekodok ikan bilis je, tapi dia punya fuh sedapnya tu, macam saya buatkan menu kemain special, muahaha)

Saya pun selalu ucap terima kasih kat Mr.R setiap kali dia selesai membantu saya dalam apa jua bantuan yang diberikan, tak kira kecil mahupun besar, cuma dia tak de blog je nak citer kat korang, harap maklum. Di samping itu juga, sebagai suami isteri ni kita mesti selalu telefon each other tau, at least sehari sekali, kalau sejam sekali pun boleh, antara pasangan kita rajin dengan malas je nak melayan, muahaha. Kalau takde benda nak citer pun tak mengapa, tanya je lah, dah makan ke belum, tengah buat apa tu, cukup lah, janji ada call :)

Jangan sesekali kawan-kawan terfikir yang saya yang menunjuk-nunjuk betapa harmoninya rumahtangga saya, betapa bahagianya saya dan Mr.R, niat saya hanya nak berkongsi perkara yang baik sahaja kawan-kawan, kalau kawan-kawan memang dah praktikkan, syukur alhamdulillah. Apa yang bakal berlaku di masa hadapan tiada siapa pun yang tahu, hanya Allah S.W.T yang mengetahui segalanya, saya hanya mampu berdoa semoga perhubungan yang baik antara saya dan suami akan berkekalan hingga ke akhir hayat dan ini adalah antara usaha saya untuk menjaga keharmonian rumahtangga kami selain daripada itu saya serahkan pada takdir :)

Semoga saya terus diberi kesihatan yang baik demi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu dengan baik, aamiin.


Tuesday, October 9, 2012

HAPPY BIRTHDAY ABAH

As salam.

Hari ni hari jadi abah saya, abah telah diberi kesihatan yang baik dan berpeluang untuk menyambut hari jadi nya yang ke 70 tahun, terima kasih Allah, terima kasih kerana masih memberi kami sekeluarga peluang untuk bersama-sama Abah di saat ini. Selamat hari jadi abah, semoga abah dipanjangkan usia, diberi kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki untuk menikmati saat-saat manis bersama keluarga, aamiin.


Abah saya garang orangnya, lebih-lebih lagi dengan saya, satu-satunya anak perempuan dia, kalau masa remaja dulu saya selalu pertikaikan, apasal along dengan angah boleh buat itu buat ini, bila saya nak buat, semua tak boleh, alasan yang selalu saya dengar dulu, awak tu budak perempuan, tak boleh itu, tak boleh ini, mana tak nya kawan-kawan, masa saya bersekolah menengah dulu, nak tengok wayang tak boleh, nak pergi shopping dengan kawan-kawan tak boleh, nak keluar minum dengan kawan-kawan pun tak boleh, lepas saya habis SPM baru ada sedikit kelonggaran untuk saya keluar dengan kawan-kawan, itu pun banyak syaratnya, pandai-pandailah saya adjust kalau nak pergi berdating, muahaha.

Saya tak pasti saya dah bercerita di blog atau belum, kalau dah terbaca, anggap je lah siarang ulangan ye. Ni nak bagi tahu kat korang, saya mula bekerja di usia 20 tahun dan masa tu pun pergi dan balik kerja, abah saya yang hantar dan jemput balik. Bila abah dah berpindah dari rumah lama kami, barulah saya pandai ke tempat kerja dengan menaiki perkhidmatan awam. Tapi tak lama pun saya dapat berdikari, abah suruh saya cari kerja di kawasan perumahan baru kami dan bermula lah balik episod pergi dan balik kerja dijemput oleh abah. Abah cakap, anak perempuan mesti selalu ada depan mata barulah senang hati.

Sampai ke saat ini pun, lontaran suara abah boleh membuatkan jiran selorong mendengar suaranya bila bertanya khabar tanpa menggunakan alat pembesar suara, dan ye, itulah satu-satunya yang saya warisi dari abah saya, lontaran vokal yang kuat tanpa menggunakan alat pembesar suara, muahaha.

Kawan-kawan, hargai dan gembirakan lah hati orang tua kita selagi hayat mereka masih ada.


Monday, October 8, 2012

UNTUK KAK LONG

As salam.

Esok, 9 Oktober 2012 akan bermulanya PMR. Kak long, anak bertuah saya ni akan menghadapinya. Macam biasa, sebagai seorang mama, setiap masa dan setiap saat akan sentiasa mendoakan yang baik-baik aje untuk anak-anak.

Masa percubaan tempohari, alhamdulillah, Kak long dapat banyak A dari B, semoga di peperiksaan sebenar yang bakal dihadapinya esok, Kak long akan dapat mengekalkan prestasi atau dapat buat dengan lebih baik lagi, insyaallah.

Kak long, jangan terlalu stress okay, usaha tu memang mama dah nampak dah Kak long, tak pernah satu hari pun Kak long tak menelaah buku pelajaran, buat ulangkaji, pergi tuisyen, buat study group di sekolah, tak tinggal solat dan selalu berdoa, semua usaha tu mama nampak dan mama yakin Kak long akan dapat menjawab peperiksaan dengan baik.

Sungguhpun mama selalu membebel sebab Kak long suka sangat mengulangkaji pelajaran dengan earphone yang setia di sisi, tapi setiap kali mama membebel, setiap kali tu jugalah Kak long meyakinkan mama yang tanpa mendengar muzik memang Kak long tak boleh belajar, macam-macam lah Kak long ni, tapi mama okay aje sebab sungguhpun Kak long enjoy dengan lagu-lagu Korea dari earphone tu, setiap kali ada peperiksaan, result Kak long tak pernah mengecewakan, so mama mengalah, dengarlah lagu Korea tu sampai muak, hihi.

Pada Kak Anisah dan kawan-kawan lain yang ada anak yang akan mengambil peperiksaan PMR, saya doakan Kak long dan anak kalian akan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan mendapat keputusan yang cemerlang, aamiin.

Friday, October 5, 2012

RUTIN

As Salam.

Rutin saya setiap hari bermula dari jam 5.30 pagi, celik mata je mesti berdoa dan berterima kasih kepada Allah kerana di beri peluang untuk bernafas lagi di muka bumi ni, capai air kosong untuk diminum sebelum menggosok gigi dan mandi lalu bersedia untuk menjalankan perintah Allah, apabila selesai, rutin seterusnya adalah aktiviti di dapur kesayangan bagi menyediakan bekalan dan keperluan bahan-bahan untuk memasak petang nanti. Saya selalunya akan keluar dari rumah jam 7.30 pagi untuk menghantar Mimi ke tadika dan akan sampai ke office sebelum jam 8.00 pagi.


Rutin setiap hari bila sampai di office pula adalah seperti berikut : on air cond, log in kedatangan, capai botol air kosong dan makan jamu mak dara 2 biji, kemudian minum 1 sudu besar Olive oil dan check emel yang masuk dan yang perlu dibalas. Selepas 1/2 jam baru saya ke pantry untuk membancuh air dan menikmati sarapan. Selesai bersarapan, baru saya makan 1 biji 1000mg Evening Primrose Oil dan 1 biji 500mg Vitamin C.

Kesemuanya saya letak di atas meja supaya senang diingati untuk dimakan. Set yang sama juga ada dirumah untuk dimakan ketika saya bercuti ataupun semasa hujung minggu.

Sekian perkongsian secara lengkap rutin pagi saya setiap hari.  Selamat berhujung minggu :)


Thursday, October 4, 2012

BYE BYE GUESS, WELCOME COACH

As salam.

Kalau korang pembaca setia blog saya mesti korang tahu saya ada tabung kan, alah tabung 2 ringgit sehari yang saya dah up kan jadi 5 ringgit sehari tu, ohhhh, korang pembaca baru ehhh, meh sini saya nak bagitahu yang saya memang mengamalkan sikap menabung setiap hari, dah lama dah saya buat macam ni, dari 2 ringgit sehari, saya naikkan ke 3 ringgit, sampailah sekarang 5 ringgit sehari, tapi rasanya, lambat lagi lah nak ke 10 ringgit sehari, muahaha.


Macam biasa jugak, kalau pembaca yang selalu mengikuti blog saya mesti tahu saya tak suka membazir, oleh itu saksikan lah kawan-kawan, saya pakai beg Guess seperti gambar di atas tu sampai lunyai terkopek baru lah saya bertukar ke handbag baru seperti gambar di bawah, mana lah Mr.R tak sayang giler kat bini tembam dia ni, yang tak suka bazirkan duit, muahaha.

First time saya beli handbag Coach, memang mahal lah pada saya, tapi sebab saya guna duit yang saya tabungkan setiap hari, perasaan bersalah tu memang tak ada lah, malahan rasa nak menitik air mata bila handbag idaman dah berada di tangan, over sungguh lahaiiii ! Ye ye ye, saya tahu, korang dah lama ada handbag Coach dan handbag designer yang lain, yang lagi mahal dari ni, tahniah ye korang. Saya kena menabung sendiri baru boleh dapat si idaman hati.

Tabung 5 ringgit sehari saya akan penuhkan hingga cukup tempoh haulnya iaitu setahun bersamaan dengan 365 hari, jumlah yang terkumpul adalah RM1,825.00 dan sudah saya belanjakan ke arah yang baik di mata saya yakni handbag coach di atas dan 2 lagi handbag jenama yang berlainan, yang tu nanti saya buat entry lain ok :))

Marilah menabung untuk membeli bag Coach seterusnya, ahaha.


Wednesday, October 3, 2012

MAKAN MAKAN LAGI DAN LAGI DAN LAGI

As salam.

Orang kata, menerima tetamu tu bagus, murah rezeki tuan rumah, alhamdulillah.


Saya dan kawan-kawan ada buat gathering hari tu, macam biasa, saya jadi tuan rumah, yang lain-lain bawak makanan sorang sikit, bila dikumpulkan jadi banyak dan alhamdulillah semua pun sedap-sedap especially mee kari yang saya masak seperiuk besar tu, masuk bakul angkat sendiri memang best, muahaha.

Lepas ni pun bakal ada gathering lagi dan macam biasa, saya juga yang akan menjadi tuan rumah, dia orang memang suka lepak kat rumah saya dan saya tiada masalah untuk menerima kunjungan mereka. Wahai tetamu yang membawa rezeki, jemputlah datang lagi :)


Tuesday, October 2, 2012

BERAYA BERSAMA TEMAN SEBAYA

As salam.

Ye ye ye, tahu dah, raya dah lama habis, nak jugak letak tajuk beraya kan, habis tu, kalau saya letak tajuk berpeleseran bersama teman sebaya, lagi lah tak sesuai weh.

Kami sama-sama beraya masa minggu terakhir bulan Syawal tempohari. Mula sekali beraya di rumah saya, jam 9.00 pagi, gigih kan kami orang. Pastu pergi lah dari satu rumah ke rumah yang lain, tak payahlah saya cakap pergi rumah sapa dulu, rumah sapa kemudian, korang bukan kisah pun, ahaha.


Yezza, kami semua sebaya, tahun ni baru berumur 38 tahun. Ye ye ye, mesti korang cakap dalam hati kan, ehhhh tak nampak macam 38 pun kak, nampak macam 29 jer, muahaha. Ni semua kawan masa zaman persekolahan, jumpa balik kat FB dan terus berkawan sampai ke hari ni. Masing-masing dah ada family sendiri tapi perangai tetap sama macam di zaman persekolahan, itu yang mengeratkan kami.

Berkawan biar beribu :)


Monday, October 1, 2012

TEKAK JE CEREWET

As salam.

Korang ada kawan yang cerewet tak ? Saya ada kawan cerewet yang saya kenal baik kat sini, bukan sorang ye, tapi dua orang ok, memang kadang-kadang rasa nak debik je bila dia orang menampakkan kecerewetan dia orang, muahaha, akan tetapi, melayan orang cerewet ni lah yang akan menambah kesabaran saya. Paling tak boleh blah dia orang punya cerewet tu, nak mencari satu tudung lah katakan, boleh keluar masuk sepuluh kedai, tapi takde satu pun yang dia berkenan, tak ke menduga kesabaran saya bila melayan dia orang :)

Contohi lah saya, saya ni memang tak cerewet langsung, semua pun boleh, saya cuma cerewet kat satu bab ni je, iaitu makanan. Ok what, saya cerewet satu bab je, kawan-kawan saya tu semua cerewet ber bab-bab, muahaha.


Yang sebenarnya nak cerita saya buat kuah lodeh dan rebus nasi impit sendiri je, tapi intro kat atas kemain menyalahkan kawan-kawan yang cerewet, bertabahlah kawan-kawan ku :)  Banyak tempat dah saya beli, susah betul nak dapat kuah yang sedap, kuah cair lah, bahan-bahan entah apa-apa yang dimasukkannya, yang dimasak sendiri juga yang sedap, boleh letak bahan-bahan yang saya suka, especially tempe lah, memang tu yang banyak dari yang lain.  Makan pulak dengan serunding, wow terus.

Korang suka lodeh ?